INGIN MEMAHAMI HUKUMAN QISHAS
Penerangan: Hudud, ta’zir dan qisas
Apabila kita faham dan kenal barulah
kita ada rasa kasih dan sayang. Apabila ada rasa kasih dan sayang barulah ada
keinginan untuk mengikuti dan melaksanakan.
Kita
tidak memberi kefahaman kepada masyarakat tentang hukum Allah, apabila bercakap
sahaja tentang hukum ini, kita asyik bercakap tentang mencuri hukumnya potong
tangan. Betul, mencuri hukumnya potong tangan, tetapi kita tidak menceritakan
mencuri yang bagaimana, berapa kadar curinya, nilai barang yang dicuri, kadar
potong tangan, kaedah pembuktian, dan saksinya bagaimana? Itu semua kita tidak
tahu, yang kita tahu hanyalah mencuri hukumnya potong tangan.
Bagi
yang telah kawin dan berzina, umum mengetahui hukumannya adalah rejam sampai
mati. Namun bagaimana kaedah merejam? Siapa yang sanggup merejam? Kalau pada
zaman Nabi SAW, orang yang dihukum akan tanam separuh badan dan dibaling dengan
batu. Sekarang ini siapakah yang sanggup membaling batu dekat orang sampai
mati?
Kerana itulah kita perlu
membincangkan kaedah perlaksanaannya. Yang banyak dibincangkan pada hari ini
adalah tentang hukuman itu sendiri. Kita tidak ceritakan kepada orang ramai
tentang keindahan hukum ini, jadi bagaimana orang ramai hendak menerimanya?
Sebab itu kita katakan kepada
teman-teman kita tidak kira Muslim atau non-Muslim, kita tanyakan, tahu atau
tidak tentang hukum ini? Jika tidak tahu, jangan pandai-pandai menolak,
menghina, atau menyindir hukum ini. Datanglah kepada kami untuk kami ceritakan
tentangnya.
Qisas
Qisas merupakan hukum Allah, yakni
hukum balas balik. Firman Allah SWT di dalam Al-Quran,
وَكَتَبْنَا عَلَيْهِمْ فِيهَا أَنَّ
النَّفْسَ بِالنَّفْسِ وَالْعَيْنَ بِالْعَيْنِ وَالْأَنْفَ بِالْأَنْفِ
وَالْأُذُنَ بِالْأُذُنِ وَالسِّنَّ بِالسِّنِّ وَالْجُرُوحَ قِصَاصٌ
“Dan Kami telah tetapkan terhadap
mereka di dalamnya (Taurat) bahawasanya nyawa (dibalas) dengan nyawa, mata
dengan mata, hidung dengan hidung, telinga dengan telinga, gigi dengan gigi,
dan luka luka (pun) ada qishashnya.”
(surah Al-Maidah, 5 :45)
Hukuman ini bukan dilaksanakan oleh
orang yang disakiti. Ia dilaksanakan oleh pemerintah. Jika diberi kepada orang
yang disakiti membalasnya, mungkin dia akan membalas secara berlebihan.
Pernah berlaku di Saudi, bergaduh
dua orang Arab daripada Mesir. Seorang daripada mereka menyimbah asid ke muka
kawannya sehingga matanya jatuh dan buta sebelah. Jadi untuk melaksanakan hukum
qisas, mahkamah memanggil kedua belah pihak, dan setelah cukup pembuktian,
cukup saksi dan sabit kesalahan, mahkamah bertanya dahulu kepada orang yang
buta matanya, adakah dia mahu memaafkan pelakunya.
Lelaki yang buta matanya berkata dia
ingin memaafkan tetapi kabilahnya tidak mahu memaafkan, dibimbangi jika lelaki
ini pulang ke Mesir, kabilahnya akan membunuhnya. Maka dilaksanakan hukum qisas
ke atas lelaki ini.
Ini kerana hukum qisas merupakan
hukuman yang Allah berikan pilihan kepada mangsa sama ada mahu membalas balik
atau memaafkan.
Bagaimana kaedah pelaksanaannya?
Bukan mencungkil mata si pesalah. Bukan dengan mengambil benda tajam dan
menikam matanya, bukan dengan menuang balik asid ke wajahnya. Tidak. Tetapi si
pesalah dibawa ke hospital dan doktor yang akan membuat pembedahan dan
mengeluarkan matanya. Begitulah kaedah hukum balas balik, dan hukuman hanya
dilaksanakan melalui kaedah-kaedah pembuktian, bukan sesuka hati.
Di internet pernah tersebar video
pencuri skrap getah ditangkap dan dibelasah habis-habisan oleh penduduk
kampung, dipukul, diterajang dan sehingga dilekatkan kaki pencuri kepada ekzos
motor yang panas. Adakah ini yang Islam kehendaki? Berapa ramai peragut yang
ditangkap oleh orang awam dan dibelasah sehingga lembik dan patang tulang?
Adakah itu hukum yang Islam kehendaki.
Pernah ditangkap di negeri sebelah
utara pasangan berzina di mana lelaki itu berzina dengan isteri orang.
Ditangkap dan dipukulnya sehingga mati. Sedangkan hukum Islam bagi orang yang
belum berkahwin adalah disebat. Ini yang kita cuba fahamkan tentang hukum
Islam. Hukum Islam bukan sekadar tangkap dan balun, tangkap dan potong tangan.
Sebab itu kata Allah di dalam Al-Quran,
وَلَكُمْ فِي الْقِصَاصِ حَيَاةٌ يَا
أُولِي الْأَلْبَابِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
“Dan dalam qisas itu adalah
kehidupan bagimu, wahai orang-orang yang berfikir, supaya kamu bertakwa.”
(surah Al-Baqarah, 2: 179)
Seorang tokoh ulama terkenal, Syaikh
Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin ditanya tentang ayat ini, bagaimana qisas
dikatakan kehidupan sedangkan orang yang membunuh dibalas balik dengan hukum
bunuh, maka ramailah yang akan mati. Jadi mengapa Allah sebutkan di dalam
Al-Quran, di dalam qisas itu ada kehidupan?
Kata Syaikh, sesungguhnya indahnya
bahasa Al-Quran, indahnya hukuman Allah SWT, apabila pesalah yang cukup syarat,
cukup bukti, cukup saksi itu dibunuh, ia akan mengurangkan kadar jenayah kerana
dua perkara; pertama – si pembunuh telah tiada, kedua – orang lain takut untuk
membunuh. Sebab itulah ia boleh mencambahkan dan memperbanyakkan kehidupan.
Ta’zir
Ta’zir adalah salah satu hukum
daripada hukum-hukum Allah. Ta’zir adalah satu undang-undang yang Allah SWT
berikan keistimewaan kepada pemimpin atau pemerintah Islam yang sah untuk
berhukum dengannya, bergantung kepada keperluan dan kemaslahatan.
Saya bawakan contoh judi. Judi Allah
hina di dalam Al-Quran, Nabi SAW hina di dalam hadis. Bahkan di dalam mana-mana
agama lain, semua mengkritik dan mengutuk kaki-kaki judi. Tetapi di dalam
Al-Quran dan hadis sendiri tidak dinyatakan perlaksanaan hukuman tertentu ke
atas kaki judi. Maka ia bergantung kepada pemerintah. Kalau pemerintah melihat
dalam negaranya mungkin hanya 1% yang bermain judi, mungkin hukuman yang diberi
tidak terlalu berat. Tetapi kalau dalam satu negara, 80% adalah kaki judi, dia
mungkin akan meletakkan hukuman yang berat.
Contoh lain adalah rasuah. Nabi SAW
menyebut di dalam hadis,
لَعَنَ اللَّهُ الرَّاشِيَ
وَالْمُرْتَشِيَ فِي الْحُكْمِ
Ertinya: “Allah melaknat orang
yang merasuah dan penerima rasuah dalam hukum.” (riwayat Ahmad dan lainnya)
Tetapi wujudkah hukuman tertentu
yang Allah tetapkan bagi orang yang terlibat dalam rasuah? Tidak, Nabi pun
tidak pernah menyebutnya. Jadi hukuman yang tidak dinyatakan oleh Allah dan
Rasul seperti ini tidak boleh dikatakan hukum hudud, ia kembali kepada ta’zir,
kembali kepada kecerdikan pemimpin untuk menentukan kadar hukuman sesuai dengan
keperluan.
Sebab itu kalau kita lihat dalam
sebuah negara luar, ada yang mencadangkan sampai rasuah dikenakan hukuman
bunuh. Kalau kadar rasuah sangat membimbangkan, pelaksanaan hukuman rasuah yang
berat perlu dilaksanakan. Sebab itu keluarlah satu kaedah yang ulama sebut,
التصرف على الرعية منوط بالمصلحة
“Tindakan pemerintah ke atas rakyat
bergantung kepada kemaslahatan.”
Contoh lain adalah money laundering.
Duit yang didapatkan dari aktiviti haram di luar sana yang hendak dibawa masuk
ke negara kita tidak dibolehkan. Kemudian ia masuk secara haram dan ditangkap.
Adakah apabila hukuman ini tidak dinyatakan di dalam Al-Quran, maka pesalah
dilepaskan?
Judi dalam bola sepak, tidak ada di
dalam Al-Quran dan hadis. Perniagaan menjual manusia, pendatang asing tanpa
izin dan sebagainya, perkara seperti ini apabila tiada hukumannya di dalam
Al-Quran maka ianya dipindahkan kepada kebijaksanaan pemimpin untuk menentukan
hukuman, inilah yang dinamakan ta’zir.
Diyah (Diyat)
Diyah adalah satu topik khusus yang
dipanggil ganti rugi. Contohnya, kemalangan jalan raya, seorang melanggar
secara tidak sengaja, maka dia perlu membayar ganti rugi. Bunuh secara tidak
sengaja, kalau menurut perundangan Islam, dia perlu membayar ganti rugi.
Diyah ini ada keterikatan dengan
hukum balas balik. Dalam kes kecederaan mata seperti yang disebut awal tadi,
sekiranya orang yang dicederakan memaafkan pelakunya, orang yang melakukan
kecederaan tersebut harus membayar ganti rugi.
Semua perkara ini ada disebut oleh
Nabi SAW; mata kena bayar berapa, tangan kalau putus kena bayar berapa, kepala
kalau pecah kena bayar berapa, kalau kena tulang kena bayar berapa, kalau
terkopak kena bayar berapa, semuanya telah diceritakan secara detil di dalam
hadis-hadis Nabi SAW.
Hudud
Berbalik kepada topik utama kita
iaitu hudud. Hudud berasal daripada perkataan arab al-had (batasan).
Bawa kereta pun ada had laju, pergaulan lelaki dan wanita juga ada had dan batasan.
Dalam berbicara dan berkata-kata juga ada had dan batasan. Filem hina Nabi, itu
sudah melampaui had dan batasan yang dibenarkan. Maka dalam setiap urusan
kehidupan seorang muslim, ada had yang perlu dipatuhi.
Dalam Al-Quran, apabila Allah SWT
menceritakan tentang pembahagian harta pusaka, setelah Allah menceritakan
semuanya secara detil, Allah berfirman,
تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلَا
تَعْتَدُوهَا
Ertinya: “Itulah batasan-batasan
Allah, maka janganlah kamu melampauinya.” (surah Al-Baqarah, 2: 230)
Maka itu maksud asal perkataan had.
Apabila kita katakan hudud, ia bermaksud batasan-batasan yang telah Allah SWT
tetapkan dalam jenayah syariah. Contohnya mencuri, menuduh orang berzina,
memberontak, minum arak, berzina, dan lain-lain. Ini adalah senarai beberapa
kesalahan yang termasuk dalam hudud. Kenapa dinamakan hudud adalah kerana Allah
SWT telah menentukan kaedah hukumannya, bagaimana pelaksanaan, dan kadar
hukumannya.
Contoh-contoh hukuman hudud
- Mencuri
Apabila Allah menyebut di dalam
Al-Quran,
وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ
فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِنَ اللَّهِ ۗ
وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
“Lelaki yang mencuri dan perempuan
yang mencuri, potonglah tangan keduanya (sebagai) balasan bagi apa yang mereka
kerjakan dan sebagai siksaan dari Allah, dan Allah Maha Perkasa lagi Maha
Bijaksana.” (surah al-Maidah, 5:38)
Ini bukan cerita seorang mencuri
lalu kita tangkap dan potong tangannya. Ini bukan seperti beli ayam di pasar,
tetapi perlu kepada pembuktian dan saksi yang adil. Perlu melihat kepada benda
apa yang dia curi. Sabda Nabi SAW,
لاَ تُقْطَعُ يَدُ السَّارِقِ إِلاَّ
فِي رُبْعِ دِيْنَارٍ فَصَاعِدًا
“Tidak dipotong tangan pencuri
kecuali barang yang dicuri bernilai satu per empat dinar atau lebih.” (Muttafaqun ‘alahi)
Jadi adakah boleh jika orang mencuri
buah mempelam satu raga, kita potong tangannya? Sabda Nabi SAW di dalam hadis
yang lain,
لا قَطْعَ فِي ثَمَرٍ وَلا كَثَرٍ
“Tidak ada potong tangan dalam
(pencurian) buah dan tandan kurma.”
(riwayat Abu Dawud dan At-Tirmidzi)
Jadi hal ini perlu difahami dengan
betul. Bukan semua jenis mencuri dikenakan hukuman hudud. Mencuri motorsikal,
adakah boleh dikenakan hukuman hudud ke atasnya?
Perlu diperhatikan, adakah
motorsikal itu berada dalam jagaan dan kawalan tuannya, atau tuannya
meninggalkan sahaja motorsikalnya di tepi jalan? Kereta Ferrari yang dicuri,
sekiranya ia diparkir di dalam kawasan rumah, dan ada pengawal yang menjaga
kawasan rumah tersebut, kemungkinan ya, barulah hukum hudud itu dilaksanakan
kepada si pencuri.
Ini semua dibincang secara detil
oleh para ulama, termasuklah kadar mana tangan si pencuri yang dibuktikan
bersalah itu dipotong.
Perlu dilihat juga sekiranya
kecurian berlaku pada musim kemarau dan pencuri adalah dari kalangan orang
miskin, tidak ada potong tangan ketika mana musim lapar dan orang yang mencuri
berada di dalam kemudharatan.
Apabila ada masalah dalam
pembuktian, disebut di dalam hadis,
ادْرَأُوا اَلْحُدُودَ بِالشُّبُهَاتِ
“Ketepikah hukum hudud kerana ada
syubhat (dalam pembuktian).”
- Zina
Apabila seseorang ditangkap berzina,
untuk disabit kesalahan perlu kepada saksi yang adil. Bukan semudah tangkap dan
terus menjatuhkan hukuman.
Saya tertarik apabila ada orang
mengulas tentang isu rogol, katanya hukum hudud tidak sesuai kerana jika
non-muslim merogol muslim, disebabkan tiada saksi si mangsa tidak boleh
mengadu, jika dia mengadu, dia akan disabitkan kesalahan menuduh orang yang
tidak bersalah (qadzaf) iaitu sebat 80 kali sebatan.
Sebenarnya dia tidak faham tentang
kaedah pembuktian hukum Islam. Kalau seseorang itu dirogol dan tidak ada bukti,
Islam mempunyai kaedah pembuktian yang lain contohnya melalui teknologi seperti
DNA, CCTV dan lain-lain. Cuma kesalahan yang dibuktikan melalui kaedah DNA dan
CCTV tidak boleh dikenakan hukuman hudud, tetapi kembali kepada hukuman ta’zir.
Bukanlah tidak dikenakan sebarang
hukuman kepada pesalah tetapi dipindahkan daripada hukuman hudud kepada hukum
ta’dzir. Orang yang mengulas tersebut tidak faham, kitalah yang
bertanggungjawab memahamkan dia.
Wallaahua’lam.
Teks disediakan berdasarkan rakaman
berikut:
No comments:
Post a Comment